Jumaat, 20 Februari 2009

Remaja, hidup muda hanya sekali

Remaja, jom rebut peluang kita!

Teringat saya pada kata-kata imam Yusuf Al-Qardawi yang lebih kurang maksudnya ; “jika kau hendak melihat masa depan sesebuah Negara, lihatlah pada golongan remajanya. Jika remajanya berhemah tinggi dan baik peribadinya maka negara itu mempunyai masa depan yang cerah. Jika remajanya adalah sebaliknya, maka tunggulah saat-saat kehancuran Negara itu”. (jika salah tolong betulkan)

Peranan remaja dalam kehidupan masyarakat amat besar sebenarnya. Sejak zaman dahulu hingga mutakhir ini hakikat itu tidak pernah berubah. Banyak sunnah-sunnah nabi, sirah nabi dengan para sahabat menceritakan betapa besar peranan remaja.

Antara hadis-hadis Nabi S.A.W yang ditujukan pada golongan remaja
Hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh imam bukhari; “ 7 golongan yang diberi perlindungan pada hari yang tiada sebarang perlindungan kecuali dariNya. Yang pertama ialah golongan belia yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid. Golongan kedua….”hingga akhir ayat. Berdasarkan situasi biasa hampir tiada remaja yang solat berjemaah di masjid (yang hadir kebanyakannya golongan KRU-kumpulan rambut uban) sebab remaja kini lebih suka solat sendirian dan sering pula melewat-lewatkannya. Jadi, sama-sama kita rebut peluang sementara usia masih remaja untuk menjadi golongan pertama yang mendapat perlindungan Allah kelak!
Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh imam ahmad “rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati”.

Melihat pada hadis ini, remaja adalah golongan yang lapang. Kita belum ada sebarang komitmen, jika ada pun adalah tugas menuntut ilmu yang kadang-kadang sering kita pinggirkan. Remaja punya banyak masa untuk terjun dalam masyarakat untuk melakukan ibadah dalam pelbagai lapangan. Orang yang dah berkeluarga tidak seperti remaja, mereka terikat dengan komitmen pada keluarga dan kerjaya. Renung-renung kembali, remajalah golongan yang paling lapang, yang paling muda dan kuat, yang paling sihat dan kaya dengan tenaga dan macam-macam paling lagi..

Remaja golongan muda, tubuh penuh tenaga dan otak penuh geliga. Ketika ini patut kita kerah sepenuh tenaga untuk melakukan kebajikan. Pelajari ilmu agama sedalam-dalamnya di usia muda agar nanti membesar dengan asas agama yang berakar umbi yang kuat. “Manusia yang baik agamanya ibarat pokok yang rendang, selain ia memberi buah kepada orang di sekelilingnya, ia juga menyediakan tempat berteduh dari hujan dan panas terik”.

Remaja masa kini
Meniti usia remaja, ketika melangkah ke alam muda-mudi banyak perkara tidak beres dapat kita perhatikan pada remaja masa kini. Saya ingat luahan rasa seorang ustazah yang mengendalikan kursus perkahwinan di satu tempat di sekitar sabah. Katanya ada muda-mudi yang ingin berkahwin tetapi bila dapat laporan rupa-rupanya tidak pernah solat. Bila ditanya kenapa tak solat, katanya xpandai solat (xtau bacaan rukun-rukun solat). Kalau bacaan solat pun dia tidak tahu, maka membaca Al-Quran jauh sekali ya..dan ini sahabat-sahabat sekalian bukan kes-kes yang terpencil, banyak remaja islam seperti ini tetapi tersorok ditengah-tengah zaman yang serba mencabar ini.

Remaja kini jauh berbeza. Perbezaan yang paling besar ialah cabaran remaja masa kini tidak seperti satu ketika dulu. Melihat senario di kampus-kampus sekarang yang pelajar perempuan membuka aurat tanpa segan silu. Merata-rata aurat dibuka untuk dipertontonkan. Teringat pula Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh imam bukhari; “tiada fitnah yang lebih besar untuk lelaki selain wanita”. Sama-sama kita koreksi diri moga-moga menjadi umat Muhammad yang berkualiti tinggi!

*”Dalam hidup ini, bercakap dan mengkritik memanglah mudah, tetapi melaksanakan dan menjayakan Apa yang dicakapkan amatlah susah. Apa jua alasannya, seseorang itu perlu berusaha membikin seperti yang diucapkan, bukan cakap tak serupa bikin”.

Isnin, 2 Februari 2009

Sekularisme

Pengaruh sekularisme dalam sistem pendidikan Malaysia

Tahun 1924, kejatuhan Khilafah ‘Uthmaniyyah di turki. Tiada lagi pengawasan pemerintah islam ke atas semua umat islam semenjak itu. Penjajah2 kuffar telah menjuzuk- juzukkan umat islam kepada pecahan-pecahan Negara-negara islam atas tunjang nasionalisme. Melihat peluang yang ada di depan mata, kesempatan ini telah digunakan oleh kuasa penjajah untuk mencabut roh islam dari hati sanubari umat islam dengan cara yang begitu licik sekali dan perancangan yang amat rapi. Itulah dia sistem pendidikan sekular di negara-negara umat islam yang mereka jajahi.

Dalam sistem pendidikan Malaysia, kita telah mengambil teras dari barat(sekular) iaitu matematik, fizik, dan psikologi. Matematik, fizik dan psikologi ini dikenali dengan teras mengira, menulis dan membaca. Sedangkan dalam dunia islam yang model terunggul kita adalah Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W, teras pendidikan adalah Al-Quran dan Al-Hadis. Di zaman Rasulullah S.A.W dan para sahabat, Nabi mendidik para sahabat dengan teras-teras ini. Kurikulum yang diajar Nabi diteruskan oleh para sahabat pada generasi-generasi umat islam ketika itu. Hasil daripada sistem yang diberikan Nabi S.A.W, lahir manusia-manusia yang hebat seperti Umar Al-Khattab, Abu Bakar dan tokoh lain. Generasi seterusnya melahirkan tokoh-tokoh ilmuwan tersohor seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Batutta, Al-Khindi, Al-Jabbar dan banyak lagi tokoh-tokoh islam yang mencetuskan penerokaan pelbagai cabang ilmu di dunia.

Berbalik kita pada sistem pendidikan sekular, melalui sistem ini mereka membentuk mentaliti anak-anak muslimin mengikut acuan mereka. Anak-anak didikan inilah di kemudian hari mendokong dan meneruskan sistem kuffar bila mereka meninggalkan tanah jajahan masing-masing. Inilah yang kita gelar penjajahan mentaliti/ideologi. Hasilnya, dewasa ini mereka(sekular) memomok kita dengan ketinggian teknologi mereka sehingga pemikir-pemikir kita menjadi keliru antara teknologi dengan kepentingan akidah islam yang dijunjung. Sesetengah golongan pemikir islam mula terpengaruh dengan membezakan antara agama dengan hal-hal duniawi seperti pentadbiran kerana mereka ingin diiktiraf pihak sekular sebagai intelektual bertaraf dunia.

Di sini mereka telah Berjaya melahirkan generasi umat islam yang mengambil islam separuh-separuh sahaja seterusnya menjadikan umat ini hina dimuka bumi….Apakah kamu beriman kepada sebahagian kitab(Taurat) dan mengingkari sebahagian yang lain?maka tidak ada balasan (yang pantas)bagi orang yang berbuat demikian di antara kamu melainkan kenistaan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada azab yang paling berat..Surah Al-Baqarah : 85. Rakan-rakan sekalian, musuh-musuh islam sangat tekun mengkaji Al-quran untuk menjatuhkan agama ini dan penganutnya. Mungkin ayat di atas ini mereka pegang dan mereka yakin dengan firman Allah ini. Mereka gunakan strategi ini,maka dapat dilihat kejatuhan umat islam.

Pengunjung budiman sekalian, sekadar pendapat ana yang daif ini, kalaulah kita ingin melihat generasi islam yang gemilang seperti satu ketika dahulu, teras pendidikan kita perlu diperkasakan berlandaskan Al-Quran dan Al-Hadis. Tidak cukup sekadar kita mendabik dada dengan pencapaian umat islam beratus-ratusan tahun yang lampau tetapi kini hanya tinggal cerita yang semakin sukar diteladani. Apabila pegangan Al-Quran dan Al-Hadis sudah tersemat di dalam jiwa umat ini, barulah pendidikan lain dipupuk supaya segala ilmu yang ditimba itu akhirnya bermatlamat mencari keredhaan Allah dengan mentadbir alam untuk kesejahteraan sejagat. Bukan untuk kepentingan material atau untuk menindas orang lain. Jangan disamakan buku-buku akademik karangan manusia dengan Kitab Al-Quran.