Jumaat, 20 Februari 2009

Remaja, hidup muda hanya sekali

Remaja, jom rebut peluang kita!

Teringat saya pada kata-kata imam Yusuf Al-Qardawi yang lebih kurang maksudnya ; “jika kau hendak melihat masa depan sesebuah Negara, lihatlah pada golongan remajanya. Jika remajanya berhemah tinggi dan baik peribadinya maka negara itu mempunyai masa depan yang cerah. Jika remajanya adalah sebaliknya, maka tunggulah saat-saat kehancuran Negara itu”. (jika salah tolong betulkan)

Peranan remaja dalam kehidupan masyarakat amat besar sebenarnya. Sejak zaman dahulu hingga mutakhir ini hakikat itu tidak pernah berubah. Banyak sunnah-sunnah nabi, sirah nabi dengan para sahabat menceritakan betapa besar peranan remaja.

Antara hadis-hadis Nabi S.A.W yang ditujukan pada golongan remaja
Hadis nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh imam bukhari; “ 7 golongan yang diberi perlindungan pada hari yang tiada sebarang perlindungan kecuali dariNya. Yang pertama ialah golongan belia yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid. Golongan kedua….”hingga akhir ayat. Berdasarkan situasi biasa hampir tiada remaja yang solat berjemaah di masjid (yang hadir kebanyakannya golongan KRU-kumpulan rambut uban) sebab remaja kini lebih suka solat sendirian dan sering pula melewat-lewatkannya. Jadi, sama-sama kita rebut peluang sementara usia masih remaja untuk menjadi golongan pertama yang mendapat perlindungan Allah kelak!
Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh imam ahmad “rebutlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, hidup sebelum mati”.

Melihat pada hadis ini, remaja adalah golongan yang lapang. Kita belum ada sebarang komitmen, jika ada pun adalah tugas menuntut ilmu yang kadang-kadang sering kita pinggirkan. Remaja punya banyak masa untuk terjun dalam masyarakat untuk melakukan ibadah dalam pelbagai lapangan. Orang yang dah berkeluarga tidak seperti remaja, mereka terikat dengan komitmen pada keluarga dan kerjaya. Renung-renung kembali, remajalah golongan yang paling lapang, yang paling muda dan kuat, yang paling sihat dan kaya dengan tenaga dan macam-macam paling lagi..

Remaja golongan muda, tubuh penuh tenaga dan otak penuh geliga. Ketika ini patut kita kerah sepenuh tenaga untuk melakukan kebajikan. Pelajari ilmu agama sedalam-dalamnya di usia muda agar nanti membesar dengan asas agama yang berakar umbi yang kuat. “Manusia yang baik agamanya ibarat pokok yang rendang, selain ia memberi buah kepada orang di sekelilingnya, ia juga menyediakan tempat berteduh dari hujan dan panas terik”.

Remaja masa kini
Meniti usia remaja, ketika melangkah ke alam muda-mudi banyak perkara tidak beres dapat kita perhatikan pada remaja masa kini. Saya ingat luahan rasa seorang ustazah yang mengendalikan kursus perkahwinan di satu tempat di sekitar sabah. Katanya ada muda-mudi yang ingin berkahwin tetapi bila dapat laporan rupa-rupanya tidak pernah solat. Bila ditanya kenapa tak solat, katanya xpandai solat (xtau bacaan rukun-rukun solat). Kalau bacaan solat pun dia tidak tahu, maka membaca Al-Quran jauh sekali ya..dan ini sahabat-sahabat sekalian bukan kes-kes yang terpencil, banyak remaja islam seperti ini tetapi tersorok ditengah-tengah zaman yang serba mencabar ini.

Remaja kini jauh berbeza. Perbezaan yang paling besar ialah cabaran remaja masa kini tidak seperti satu ketika dulu. Melihat senario di kampus-kampus sekarang yang pelajar perempuan membuka aurat tanpa segan silu. Merata-rata aurat dibuka untuk dipertontonkan. Teringat pula Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh imam bukhari; “tiada fitnah yang lebih besar untuk lelaki selain wanita”. Sama-sama kita koreksi diri moga-moga menjadi umat Muhammad yang berkualiti tinggi!

*”Dalam hidup ini, bercakap dan mengkritik memanglah mudah, tetapi melaksanakan dan menjayakan Apa yang dicakapkan amatlah susah. Apa jua alasannya, seseorang itu perlu berusaha membikin seperti yang diucapkan, bukan cakap tak serupa bikin”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan