Khamis, 11 Jun 2009

Emas hitam


EMAS HITAM DAN SEJARAHNYA

Istilah Petroleum merupakan istilah yang dipinjam daripada bahasa Greek dan kini merupakan penggunaan harian dalam semua bahasa. Dalam kewujudan tamadun melayu, masyarakat Melayu mengenali petroleum sebagai minyak tanah kerana minyak tersebut ditemui berasal dari tanah atau bawah permukaan tanah. Satu istilah yang menarik digunakan oleh masyarakat asli di Nusantara terutama di jawa dan sekitarnya, ialah ‘minyak lantung’. Lantung diistilahkan sebagai batu, jadi minyak lantung adalah dikenali sebagai minyak batu, serupa dengan istilah masyarakat barat iaitu ‘petroleum’. Petra bererti batu dan oleum bererti minyak.

SEJARAH PENEMUAN
Pada awal manusia bertamadun, petroleum digunakan sebagai pelekat terhadap susunan batu-bata binaan seperti rumah, benteng, jalanraya dan sbgnya. Selain itu, manusia juga menggunakan tar sebagai bahan penting supaya kalis air. Beberapa bukti sejarah; pada zaman Nabi Nuh, telah tercatat penemuan tirisan petroleum di permukaan bumi daerah Mesopotamia. Nabi Nuh ketika itu dikatakan telah memanfaatkan tar agar kapal laut yang dibina itu kalis air. Di kawasan teluk Parsi, asphalt digunakan sebagai bahan pelekat pada bahan perhiasan perempuan. Ia juga dikatakan sebagai bahan penting dalam campuran binaan bakul di mana Nabi Musa diletakkan untuk dihanyutkan ke dalam sungai Nil.

DIANGGAP TUHAN OLEH MASYARAKAT MAJUSI
Dalam sejarah penemuan hidrokarbon asli di kawasan Parsi, Timur tengah, terdapat tirisan petroleum yang menyebabkan banyak gas-gas petroleum menyembur keluar ke permukaan. Akibat cuaca panas yang terik, menyebabkan selalu berlaku kebakaran yang berpanjangan di situ. Ada di antaranya digelar ‘unggun api abadi’ dan masyarakat ketika itu merasakan bahawa api mempunyai kuasa kerana tidak padam sehingga bila-bila. Maka masyarakat berkenaan menjadi masyarakat penyembah api yang disebut Zoroaster.

EMAS HITAM DAN KETAMADUNAN
Dunia teknologi petroleum semakin moden dengan kemajuan dalam berbagai-bagai disiplin seperti geologi, telnologi pengerudian dan geofizik yang kemudiannya digabungkan dengan geofizik nuklear dan kosmofizik. Ilmu ini merupakan khazanah Allah yang perlu digunakan secara efektif. Ilmu ini hanya sebahagian kecil sahaja daripada ilmu yang Allah turunkan kepada manusia. Pada abad ke-21 ini, jelas menunjukkan trend keperluan petroleum dan gas asli yang amat tinggi. Bersumberkan faktor ini, tindak-tanduk manusia boleh menjadi tidak rasional untuk menguasai sesebuah Negara yang kaya dengan petroleum. Sifat kerakusan dipengaruhi oleh kedangkalan manusia untuk menjelaskan fakta yang sebenar. Keputusan ini menyebabkan penduduk bumi menjadi resah dan politik dunia semakin tidak stabil. Akibatnya, Negara yang kaya dengan rizab petroleum cenderung untuk dijajah oleh kuasa besar dengan cara kekerasan. Malah, pergolakan politik hari ini mungkin berterusan sehingga bila-bila masa, berpunca daripada sikap tamak manusia untuk menguasai rizab EMAS HITAM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan