Selasa, 26 Mei 2009

Untung sabut timbul, malang batu tenggelam

Dari kecil, besar..setelah besar,nikah..setelah nikah punya anak.. setelah punya anak, punya cucu..setelah punya cucu, kok..mati. Begitu lontaran kata-kata adik Bunga didalam program reality tv Indonesia: pildacil musim ke-3.

Mengimbas kembali masa silam, dari sekolah rendah ke sekolah menengah yang merupakan pelajar yang masih mentah. Tekun mendengar cikgu mengajar. Ada masanya menongkat dagu dan bermonolog sendiri, “bilalah kelas nak habis ni” . Kadang-kadang mengangguk-mengangguk faham sampaikan tidak sedar kepala mencecah ke meja. Akhirnya UPSRnya bagus, PMRnya bagus, dan SPMnya Alhamdulillah bagus, terus ke matrikulasi melanjutkan pengajian.

Seusai majlis ikrar, lantas bergelar mahasiswa UMS. Universiti mempunyai landskap tercantik di Asia Tenggara, Alhamdulillah..Sungguh beruntung diri terpilih di antara ribuan anak bangsa yang hayatnya dihabiskan berhempas-pulas membantu ibu ayah mencari sesuap nasi menyambung nyawa, atau yang tercicir dari mendapat pendidikan, berpeleseran di tepi-tepi jalan tanpa tujuan.

Kini selesai tesis, tinggal Latihan Industri. Dirasakan terlalu singkat masa berlalu. Baru dirasakan seperti mahu kembali ke tahun satu, membuka buku satu persatu. Tiga tahun tidak cukup untuk mendalami ilmu geologi yang begitu luas, apatah lagi mendalami ilmu agama yang menjadi modal utama seorang mahasiswa yang mengaku sebagai ahli gerakan islam.


UNTUNG SABUT TIMBUL, MALANG BATU TENGGELAM
Malang sekali sekiranya mahasiswa ini memandang peluang di Universiti yang dianugerahkan Allah sebagai satu kebetulan. Lantas, janganlah lalai dan leka dengan “nikmat kejayaan” yang lalu sehingga lupa mengekalkan momentum kejayaan tersebut. Inilah yang dikatakan untung sabut timbul, malang batu tenggelam. Orang yang untung melihat kejayaannya yang lepas sebagai pengalaman, manakala orang yang malang pula melihatnya sebagai trofi yang perlu dijulang.


Firman Allah S.W.T; maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan). Tetaplah bekerja keras (untuk urusan yan lain).-surah Al insyirah(7)

BERPEGANG PADA OBOR KEHIDUPAN
Soalan yang sering bermain fikiran, apa aku nak jadi sebenarnya? Kelebihan aku dimana? Ada yang mengatakan lima tahun belajar akhirnya kerja tidak ada sangkut paut dengan yang yang dipelajari di Universiti. Berfikir sebegini kerana melihat belajar di universiti sebagai sijil untuk memperoleh kerja yang bergaji lumayan (tidak juga salah) tetapi telah merendahkan martabat ilmu yang Tuhan kurniakan.


Kehidupan ibarat sebuah pelayaran, ada masa berlayar dan berlabuh di pulau-pulau persinggahan. Di pulau persinggahan ini kita turun dan mencari bekalan dan pengalaman baru untuk dibawa berlayar semula. Semakin banyak pulau-pulau yang yang kita singgah, semakin banyak pengalaman yang kita dapat untuk diceritakan dan digunakan dalam kehidupan sehari-hari. Maka menceburi bidang-bidang yang pelbagai yang kurang diminati bukan bermaksud kita tidak mengenali diri sendiri tapi lebih kepada usaha kita mengenali siapa diri ini sebenarnya. Wallahu’alam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan